Wednesday, December 15, 2010

DIGNITI MELAYU DI ABAD KE-21

RUHANIE AHMAD

Artikel ini difokuskan khusus kepada persoalan digniti Melayu kontemporari untuk menyanggah pelbagai polemik mengenai ketuanan Melayu yang kebelakangan ini dipolitikkan oleh sesetengah golongan di Malaysia. Ianya bertujuan supaya polemik berkenaan tidak berlarutan sehingga mengancam keselamatan dan perpaduan nasional yang dibina asasnya menerusi Perlembagaan Persekutuan.

Hipotesis artikel ini adalah: konsep ketuanan Melayu bukannya elitis, tidak diwujudkan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, atau untuk mencanggahi aspirasi melahirkan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Sebaliknya, konsep ini wujud untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang jadi daif serba-serbinya akibat penjajahan selama 446 tahun. Dalam ertikata lainnya, ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era pasca-merdeka.

Hakikatnya sedemikian kerana Persekutuan Tanah Melayu adalah entiti negara yang diwujudkan oleh para pemimpin multi-keturunan menerusi kemerdekaan tanah air pada 31 Ogos 1957. Malaysia juga terbentuk daripada permuafakatan multi-etnik di Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, dan Singapura.

Maksudnya, sebelum Tanah Melayu dijajah mulai 1511 hingga 1957, bumi ini adalah gabungan negeri-negeri Melayu yang dikategorikan sebagai nation-state atau negara-bangsa kerana majoriti rakyatnya terdiri daripada satu rumpun bangsa yang sama, berkogsi sejarah dan warisan budaya yang serupa, serta berasal daripada wilayah geografi yang satu, iaitu kepulauan Nusantara (rujuk Buzan 1983:36-72).

Realiti sejarah

Hakikat ini diakui oleh pelbagai sejarawan asing dan tempatan. Purcell (1965:40) menegaskan “dari sejarahnya, Malaya adalah negara Melayu.” Oleh sebab itulah “dasar British di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua bersifat pro-Melayu dan menerima hakikat bahawa Tanah Melayu adalah untuk masyarakat Melayu” (Mohd Ashraf Ibrahim 2004:50).

Lantaran itu juga “pentadbir-pentadbir British memandang istimewa terhadap orang Melayu. Mereka menganggap orang Melayu sebagai penduduk bumiputera Malaya. Mereka mengakui bahawa orang Cina mempunyai peranan ekonomi yang penting tetapi ini bukanlah memberi orang Cina hak untuk memainkan peranan dalam politik. Malaya adalah tanah air orang Melayu” (Saunders 1978:35).

Selanjutnya, Tanah Melayu dan bangsa Melayu adalah negara dan bangsa yang telah mencipta tamadunnya di era Kesultanan Melayu Melaka. Pada ketika itu sudah wujud undang-undang syariah dan undang-undang maritim Melayu yang komprehensif.

Contohnya, “kurun ke-15 adalah satu peringkat di mana, secara umumnya, kegiatan ahli-ahli hukum berkisar kepada pengkanunan prinsip-prinsip shari’ah” dan “Undang-Undang Laut Melaka ialah kanun yang mengandungi hukum dan peraturan di laut yang berkaitan dengan tatacara dan undang-undang pelayaran serta penggunaan kapal” (Abdul Aziz Bari 2008:306-307).

Seluruh huraian di atas membuktikan Malaysia bukannya sebuah state-nation atau negara majmuk sejak sebelum era penjajahan. Sebaliknya, Malaysia hanya menepati kategori state-nation kerana kemerdekaannya diperjuangkan oleh bangsa Melayu menerusi UMNO, keturunan Cina menerusi MCA, dan keturunan India menerusi MIC, dan kewarganegaraannya pula merangkumi seluruh keturunan ini serta lain-lain kelompok etnik di Sabah dan Sarawak.

Sejarah silam juga membuktikan bangsa Melayu adalah bangsa yang mempunyai dignitinya yang tersendiri sejak berkurun lamanya. Lantas, bukan satu jenayah untuk membicarakan konsep ketuanan Melayu dalam konteks Malaysia kontemporari. Ini kerana bangsa Melayu adalah bangsa yang wujud bersama sejarah bumi Melayu yang kini diidentitikan sebagai Malaysia.

Konsep ketuanan Melayu juga tidak boleh ditafsirkan sebagai instrumen penindasan atau pendiskriminasian terhadap rakyat bukan Melayu dan bukan Bumiputera. Sebaliknya, konsep ini diterjemahkan ke dalam pelbagai dasar dan program pemerintah supaya wujud keseimbangan dalam survival dan digniti warganegara Malaysia yang berbilang keturunan dalam era merdeka.

Perlembagaan Persekutuan

Perjuangan memajmukkan Tanah Melayu menerusi kemerdekaan tidak diterima sepenuhnya oleh majoriti bangsa Melayu di era pra-merdeka. Tunku Abdul Rahman selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Perikatan terpaksa menghadapi cabaran serius daripada kalangan UMNO dan bangsa Melayu di luar UMNO yang mencurigai implikasi perjuangan memerdekakan negara bersama-sama keturunan Cina dan India di hari muka.

Tetapi, Tunku Abdul Rahman tetap bertegas. Beliau menegaskan “ada yang berkata kita (orang Melayu) hendak berlawan dengan Raja-Raja Melayu. Tetapi, tuduhan yang palsu ini tidak ada tempat dalam perjuangan kita kerana kita telah mengisytiharkan bersama-sama MCA bahawa kita akan menjaga dan memelihara taraf Raja kita dan juga agama kita yang maha suci” (Tunku Abdul Rahman 2009:76).

Kenyataan ini membuktikan bahawa kemerdekaan tanah air pada 1957 adalah perjuangan yang mengiktiraf keindukan Melayu, status Raja-Raja Melayu, serta kedudukan Islam sebagai agama orang Melayu. Ia juga membuktikan bahawa ketuanan Melayu diiktiraf oleh seluruh pejuang kemerdekaan yang multi-keturunan bukan untuk mengagung-agungkan bangsa Melayu, tetapi untuk memanifestasikan kesinambungan sejarah kewarganegaraan Melayu di bumi Melayu dalam era pra-penjajah.

Antara buktinya, Perikatan secara sebulat suara memperakukan bahawa Islam dijadikan “agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu” (Ahmad Ibrahim1978:48). Perikatan juga menyetujui supaya Perlembagaan Persekutuan memaktubkan perkara khusus mengenai struktur kewarganegaraan rakyat jelatanya yang berbilang kaum “untuk mengelakkan kebimbangan mereka bahawa struktur kewarganegaraan ini akan dipinda jika ianya digubal menerusi undang-undang biasa” (Sinnadurai 1978:93).

Hakikat ini membuktikan bahawa perkara khusus mengenai Islam dan struktur kewarganegaraan di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah antara dua peruntukan penting yang dimaktubkan sebagai manifestasi permuafakatan bangsa Melayu, keturunan Cina, dan keturunan India dalam era menjelang merdeka.

Kedua-dua peruntukan ini bukannya dimaktubkan atas dasar ketuanan Melayu. Sebaliknya, atas dasar kesinambungan sejarah pra-merdeka dan atas dasar memelihara keselamatan masyarakat dan keselamatan nasional.

Lantas, apakah kaitannya konsep ketuanan Melayu dengan kedua-dua peruntukan ini sehingga wujud pihak yang mencadangkan supaya konsep ini digantikan dengan konsep ketuanan rakyat kononnya “supaya anak-anak membesar dengan visi ‘bangsa bermaruah’ atau ‘Melayu bermaruah”? (rujuk Suara Keadilan 27 November 2010, Utusan Malaysia 28 November 2010, Berita Harian 28 November 2010, Bernama 2 Disember 2010 dan the Malay Mail 2 Disember 2010).

Dasar afirmatif

Konsep ketuanan Melayu juga sering dikecam menerusi perspektif dasar afirmatif kerajaan yang berpaksikan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Dalam konteks ini, tidak ramai antara kita menyedari hakikat bahawa dasar-dasar berkenaan adalah sebahagian daripada ciri-ciri keselamatan insan, keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional Malaysia selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang memberikan digniti kepada insan manusia (rujuk mukadimah the Universal Declaration of Human Rights 1948).

Lantaran itu, segelintir parti siasah yang mendakwa sebagai jaguh hak asasi manusia sejagat semestinya menginsafi hakikat bahawa bangsa Melayu dan Bumiputera adalah kelompok warganegara Malaysia yang kehilangan digniti ekonomi dan sosialnya akibat polisi-polisi penindasan sistemik penjajah yang silih berganti selama 446 tahun.

Lantas, apa faedahnya dibangkit dan diungkit soal kuota 30 peratus yang dikhususkan kepada Melayu dan Bumiputera menerusi Dasar Ekonomi Baru apabila kedua-dua kelompok ini langsung tidak pernah mempersoalkan kuota 70 peratus yang dinikmati oleh bukan Melayu dan kapitalis asing di Malaysia selama ini?

Oleh sebab itulah orang Melayu dan Bumiputera menyifatkan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai dasar afirmatif yang berindukan perkara ini “sebagai sesuatu yang suci, manakala sesetengah orang bukan Melayu mempersoalkan peruntukan tersebut adalah berkaitan dan mengikat hingga ke hari ini. Mengikut mana-mana tafsiran yang munasabah, manka peruntukan tersebut di dalam Perlembagaan adalah bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial orang Melayu yang lemah dari segi ekonomi hendaklah dilindungi dan digalakkan berbanding dengan orang bukan Melayu yang lebih maju” (Faaland, Parkinson & Rais Saniman 2002:16).

Sebagai balasan kerana diberikan perlindungan menerusi Perkara 153 “orang Melayu mengadakan konsesi yang berpadu mengikut kuasa politik dengan memberikan kewarganegaraan Persekutuan kepada orang bukan Melayu. Sebagai tambahan, orang bukan Melayu dijaminkan bahawa mereka bebas menjalankan perniagaan tanpa diganggu, dan mereka juga boleh mengekalkan dan mengembangkan budaya serta warisan bahasa mereka sendiri, dan boleh hidup secara berasingan” (ibid: 17).

Demikianlah hakikatnya semangat yang lahir daripada konsep ketuanan Melayu yang dijelmakan menerusi Perikatan dalam era menjelang kemerdekaan tanah air. Konsep tersebut tidak pernah membakar atau menyemarakkan sentimen perkauman di Malaysia sebelum munculnya konsep Malaysian Malaysia dalam tempoh 1963-1965 yang mempertikaikan seluruh perkara strategik dalam Perlembagaan Persekutuan, terutamanya mengenai Bahasa Melayu, Agama Islam, dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera (rujuk Ghazali Ismail 1990).

Setelah Singapura tersingkir daripada Malaysia pada 1965, konsep Malaysia Malaysia diteruskan perjuangannya oleh DAP sebagaimana terkandung dalam the Setapak Declaration yang diperakukan dalam kongres DAP pertama pada 29 Julai 1967. Deklarasi tersebut “menjadi prinsip panduan perjuangan DAP sejak kelahirannya” (salinankarbon.com 14 Julai 2009).

DAP mengaplikasikan prinsip deklarasi ini dalam PRU 1969 dengan “menyerang MCA kerana menyerahkan hak-hak keturunan Cina kepada UMNO menerusi Perikatan. Pletfom DAP ketika itu adalah Setapak Declaration of Principles yang secara prinsipnya menentang hegemoni Melayu dan menyokong konsep Malaysian Malaysia” (Comber 2001:65).

Ini membuktikan bahawa isu mengenai struktur kewarganegaraan Malaysia, Bahasa Melayu, Agama Islam, Raja-Raja Melayu, dan keistimewaan bangsa Melayu dan Bumiputera hanya menjadi isu politik akibat kemunculan konsep Malaysian Malaysia yang kemudiannya diperjuangkan oleh segolongan parti pembangkang di Malaysia.

Contohnya, sepanjang kempen Pilihan Raya Umum 1969 “segolongan calon pembangkang telah menyerang Perlembagaan menerusi perspektif perkauman. Mereka memutarbelit dan menyalahtafsirkan sesetengah peruntukan dalam Perlembagaan, terutamanya Perkara 152 dan 153. Mereka mendesak supaya Perkara 153 yang memberikan perlindungan kepada keistimewaan Melayu dimansuhkan” (Tun Abdul Razak Hussein dalam Majlis Gerakan Negara 1969:v).

Kesimpulan

Kesimpulannya, ketuanan Melayu adalah konsep yang memanifestasikan kesinambungan sejarah dan tamadun Melayu sebelum tanah air ini dijajah selama 446 tahun. Ia bukannya konsep yang menglorifykan bangsa Melayu. Sebaliknya, adalah konsep yang memberikan digniti kepada bangsa Melayu sama seperti digniti keturunan bukan Melayu di negara asal masing-masing.

Dalam ertikata lain, konsep ketuanan Melayu tidak menggugat survival bukan Melayu di Malaysia. Sebaliknya, konsep Malaysian Malaysia yang dijelmakan semangatnya ke dalam the Setapak Declaration 1976 yang terbukti telah menggugat keselamatan insan, keselamatan politik, keselamatan ekonomi, keselamatan masyarakat, dan keselamatan nasional di Malaysia.

Maka, adalah meleset untuk menyifatkan konsep ketuanan Melayu bertujuan mengagung-agungkan bangsa Melayu dan bercanggah dengan kewujudan bangsa Malaysia yang bermaruah di hari muka. Konsep ketuanan Melayu lahir untuk memberikan digniti kepada bangsa Melayu dan Bumiputera yang jadi daif serba-serbinya akibat penjajahan. Konsep ketuanan Melayu adalah konsep anti-penjajahan biar dalam bentuk apa sekalipun dalam era kontemporari.

No comments: