Wednesday, January 25, 2012

Sistem komuniti burung

Ruhanie Ahmad

Saya cukup kagum dengan sistem kehidupan komuniti burung – murai sesama murai, merbah sesama merbah, serindit sesama serindit, punai sesama punai, begitu jugalah lain-lainnya --- aman, damai, harmonis.

Mereka tidak komunal. Mereka tidak cauvinis. Mereka tidak radikal. Mereka tidak sombong. Mereka tidak bongkak. Mereka memang ada kepak. Tetapi mereka tidak berkepak. Sistem komuniti mereka cukup tersusun, teratur, sistematik, harmoni, mesra, selesa, gembira dan ceria.

Mereka tidak mempunyai sistem politik. Tetapi, mempunyai sistem kehidupan. Menjelang fajar, mereka riuh berkicauan. Menjelang senja mereka terbang beriringan pulan ke sarang.

Mereka mempunyai sense of time. Sekian waktu mereka bangun. Sekian waktu mereka memburu rezeki. Sekian waktu berdendang sayang bersuka ria.

Mereka juga mempunyai sense of precision. Mereka mendendangkan kicauan masing-masing mengikut irama yang sangat individualistik melodinya, setiap hari dan sesaban hari. Namun melodi itu jadi sangat harmonik apabila mereka mula menyanyi beramai-ramai, sambut menyambut, antara satu sama lainnya.

Mereka mempunyai etika yang kukuh. Tidak pernah sekali seekor burung memijak kepala sahabat atau keluarganya. Tidak pernah sekali seekor burung menenggek di kepala sesama warga komunitinya. Tidak pernah sekali sayap seekor burung akan bertautan dengan lainnya sewaktu mereka terbang berkawan di alam yang luas.

Lantas hari demi hari sepanjang tempoh saya dibesarkan di kampung, saya tetap memerhati dan menghayati sistem kehidupan beraneka spesies burung di persekitaran rumah.

Cukup menyeronokkan dan amat mengasyikkan. Mereka sekadar komuniti burung. Namun mereka mengenal yang baik dan menjauhi yang mungkar

Syukur Alhamdulillah. Inilah manifestasinya kebesaran Allah SWT --- Tuhan Pencipta seluruh alam!!!!

No comments: